Get me outta here!

Saturday, April 04, 2020

Mobiliti dan bekerja dari rumah





Salah satu langkah yang selalu disarankan oleh kajian terkini untuk mengurangkan kesesakan jalan raya, terutamanya pada waktu puncak, ialah dengan bekerja dari rumah. Dikenali dengan pelbagai nama seperti telework, teleworking, remote work, mobile work, dan flexible workplace atau flexplace (Noor & Mohd Mahudin, 2015), konsep ini merujuk kepada telekerja iaitu aturan di mana pekerja membuat kerja di luar tempat kerja yang hakiki, contohnya, di rumah, perpustakaan, kafe, dan sebagainya. Istilah homeworking juga kadang-kala digunakan. Namun, homeworking lebih tepat ditakrifkan sebagai “kerja-kerja yang ditawarkan oleh syarikat sama ada secara langsung atau melalui pihak ketiga yang dijalankan secara individu atau kumpulan di premis tertentu yang digunakan untuk menjalankan operasi pekerjaan” (Jabatan Tenaga Kerja, 2011, m.s. 5). Manakala, telekerja selalunya melibatkan kerja-kerja pejabat atau kerja-kerja yang boleh dilakukan dalam talian. Dalam aturan ini, pekerja perlu menjalankan kerja-kerja hakiki mereka dan mematuhi jadual tertentu yang ditetapkan oleh majikan dalam tempoh waktu pejabat. Apa-apa pun, kesemua istilah atau konsep-konsep ini merujuk pada tatacara yang membolehkan pekerja melakukan pekerjaan mereka di luar lingkungan kerja konvensional.

Penularan wabak koronavirus COVID-19 kini turut menyebabkan ramai pekerja bekerja dari rumah bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuatkuasa di seluruh negara mulai 18 Mac 2020 hingga 31 Mac 2020, dan kemudiannya dilanjutkan ke 14 April 2020. Dalam konteks mobiliti, COVID-19 sememangnya telah menjejaskan pergerakan berulang-alik ke tempat kerja. Saya pernah menulis tentang hubungan dan kepentingan persekitaran yang selamat dan sihat dalam sistem pengangkutan awam terutamanya semasa penyakit berjangkit yang meluas. Boleh baca di sini.

Lanjutan daripada penulisan tersebut, berikut adalah sedikit panduan tentang cara terbaik untuk anda bekerja dari rumah. Senarai ini disusun berdasarkan maklumat yang diterbitkan oleh KKM, MKN, JPA, NIOSH, WHO, dan ILO dan bertujuan sebagai panduan. Semua dinasihatkan agar sentiasa mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Keselamatan Negara, serta kerajaan Malaysia.

PANDUAN BEKERJA DARI RUMAH


Persekitaran dan kelengkapan:
  • Sediakan tempat khas dan bersih untuk bekerja. Pastikan peralatan kerja yang penting dan sesuai dengan kerja ada di situ.
  • Pastikan tempat itu mempunyai pencahayaan yang baik, pengudaraan yang mencukupi, serta suhu yang selesa.
  • Sentiasa kemaskini perisian dan peralatan kerja anda, terutamanya peranti,  komputer, aplikasi, sistem pengendalian, dan rangkaian internet dengan anti-virus dan anti-malware yang terkini.
Bekerja secara  realistik:
  • Ikut segala garis panduan yang ditetapkan oleh majikan dan undang-undang. 
  • Bersedia untuk dihubungi oleh majikan dalam tempoh waktu bekerja.
  • Uruskan dan lindungi maklumat sulit dan terhad syarikat dengan berhati-hati.
  • Sentiasa peka dengan perkembangan, arahan, dan garis panduan terkini yang dikeluarkan oleh majikan, undang-undang, dan kerajaan.
Rutin dan disiplin diri:

  • Bekerja secara rutin, teratur, dan berdisiplin.
  • Tulis sasaran tugasan yang perlu dilaksanakan setiap hari dan sediakan jadual untuk menyelesaikan tugasan tersebut satu persatu. Sasaran tugasan haruslah  realistik dan mampu dicapai.
  • Bekerja mengikut masa, jadual, dan sasaran yang telah ditetapkan. Jangan bertangguh atau membazir masa.
  • Bagi tugasan yang tidak dapat disiapkan pada waktunya, buat nota dan cari punca serta penyelesaiannya.
  • Sepertimana tugasan kerja, lakukan rutin harian (contoh, waktu makan, rehat, memasak, urus diri, dsb.) mengikut jadual yang ditentukan.
Sempadan antara kerja dan rumah:

  • Hadkan urusan kerja pada waktu bekerja sahaja (contoh, 8 jam sehari, pukul 9-5 sahaja, dsb.).
  • Manfaatkan masa untuk keluarga dan diri sendiri dengan sepenuhnya.
  • Perlu ada pemisahan mental dari kerja dengan tidak berfikir tentang isu berkaitan pekerjaan apabila dengan keluarga dan diri sendiri.
Postur dan rehat:

  • Bekerja dalam postur yang betul. Jika kerja memerlukan anda duduk di depan komputer untuk tempoh masa yang lama, pastikan (i) belakang anda lurus dan rapat ke penyandar kerusi, (ii) bahu dalam keadaan tegak dan lurus, dan (iii) kaki terletak di atas lantai atau tempat letak kaki.
  • Bangun setiap 20 atau 30 minit untuk berjalan, meregangkan otot, atau bersenam kerana badan tidak boleh berada dalam postur yang sama terlalu lama.
  • Guna kaedah 20-20-20 (setiap 20 minit, pandang sejauh 20 kaki dan bergerak, untuk 20 saat) untuk merehatkan mata dan meregangkan badan.
Ubah cara berfikir:

  • Ubah cara berfikir yang tidak rasional dan beremosi kepada pemikiran yang rasional dan realistik. Teknik ini dikenali sebagai penstrukturan semula kognitif.
  • Cth., tukarkan “Saya kena habiskan kerja ni hari ini juga, kalau tidak syarikat ini akan rugi!” kepada “Kerja tak akan habis dan dunia tidak akan berakhir hanya kerana satu kerja yang tidak siap hari ini”.
Bertenang:

  • Luangkan masa, contohnya 2 kali sehari selama 5 hingga 10 minit, untuk membuat pernafasan secara sedar.
  • Caranya, (i) duduk di tempat yang selesa dan tidak bising, (ii) tarik nafas dengan dalam dan tahan nafas, dan (iii) sebut “satu” semasa menarik nafas dan mengeluh ketika menghembus nafas.
  • Perkataan dan teknik boleh diubah mengikut kesesuaian dan keselesaan. Yang penting adalah  fokus kepada pernafasan anda.
Kesimpulan:
Tiada formula segera untuk terus cekap bekerja dari rumah. Hanya perlu ditekuni dengan tekal dan bersungguh-sungguh. Semoga berjaya!


#basuhtangan #jagakebersihan #jaraksosial1meter #dudukrumah


Istilah psikologi:

  • telekerja = telework / teleworking
  • pemisahan mental = mental detachment
  • penstrukturan semula kognitif: cognitive restructuring
  • pernafasan secara sedar = mindful breathing
Rujukan: